PENGUNDI KECEWA PBS, STAR GAGAL HALANG WAKIL PAS DILANTIK ADUN


KOTA KINABALU: Kegagalan Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menghalang perlantikan setiausaha PAS Sabah sebagai Adun menunjukkan mereka tidak tidak dapat mempertahankan cara hidup masyarakat majmuk di negeri ini.

Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, berkata kenyataan serta pendirian yang tidak konsisten daripada pemimpin PBS dan STAR telah mendatangkan kemarahan dan kekecewaan kepada ramai rakyat Sabah yang mahu mempertahankan budaya dan cara hidup penuh harmoni di antara pelbagai kaum serta agama di Sabah.

”Jika perlantikan ini pun mereka tidak dapat menghalang apakah lagi untuk mereka memperjuangkan hak-hak kita yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 jika mereka hanya bagaikan kerbau dicucuk hidung oleh kepimpinan Malaya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Madius berkata, siri kenyataan pemimpin PAS seperti ‘bible dipesongkan oleh orang Kristian’ dan tindakan ahli-ahli PAS membuat laporan polis untuk menghalang sambutan Krismas di Tawau adalah contoh bahawa budaya politik PAS ini adalah sebagai sebuah parti yang ekstrem.

”Keangkuhan pemimpin PAS yang tidak mahu memohon maaf kepada masyarakat Kristian menunjukkan bagaimana cara pemikiran para pemimpin PAS dan budaya politik mereka.

”Kenyatan dan tindakan tersebut jelas menggugat perpaduan dan keharmonian kaum yang sedia terjalin di Sabah.

Sebab itu dari mula lagi UPKO mengambil pendirian bahawa rakyat Sabah harus menolak budaya politik PAS dan pastikan agar budaya sedemikian tidak bertapak di Sabah,” katanya.

Beliau yang juga ahli parlimen Tuaran berkata, dengan bersekongkol dengan PAS dan UMNO dalam kerajaan persekutuan dan negeri, para pengundi yang telah menyokong PBS dan STAR pada Pilihan Raya Negeri (PRN), baru-baru ini, merasakan mereka tertipu.

”Mereka merasakan tertipu oleh pemimpin-pemimpin PBS dan STAR apabila undi mereka juga adalah penyebab kepada perlantikan Adun PAS sebagai sebahagian daripada kerajaan negeri Sabah yang mana akan terlibat secara langsung dalam menggubal undang-undang negeri dan dasar-dasar kerajaan.

”UPKO telah menegaskan dan berkali-kali merayu sepanjang kempen PRN bahawa demi mempertahankan cara hidup orang Sabah para pengundi harus mengundi untuk menghalang PAS daripada bertapak di Sabah. Malangnya rayuan UPKO itu tidak diambil serius,” katanya.

Madius turut menyeru rakyat Sabah supaya terus bersatu-padu mempertahankan cara hidup yang penuh toleransi, berharmoni serta hormat-menghormati di antara pelbagai kaum dan agama.

”Rakyat harus bersuara dan bangkit bersama untuk memastikan kita mempertahankan semua ini.

”Rakyat Sabah perlu diperingatkan juga bahawa, perjuangan dan niat pemimpin silam kita apabila mereka telah bersetuju membentuk Malaysia melalui Perjanjian Malaysia, mereka mahukan budaya dan cara hidup masyarakat majmuk Sabah dipertahankan dan dihormati.

”Disebabkan itulah cara dan budaya politik yang diperjuangkan oleh PAS adalah tidak sesuai kerana Perlembagaan Persekutuan kita juga memperjuangkan sebuah negara Malaysia yang sekular kerana masyarakatnya yang berbilang kaum dan agama.

”Rakyat Sabah perlu mempertahankan Malaysia sebagai sebuah negara sekular seperti yang diilhamkan oleh para pemimpin silam kita yang telah membentuk Malaysia,” katanya lagi.-http://beritsabah.com





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *